“Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. "[Ali Imran: 8]

Friday, September 6, 2024

KHEMAH

 

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ


KHEMAH PALESTINE

Tempat mereka berlindung usai kedaiman habis musnah dek peluru zionis menghentam. Namun tetap mereka bersyukur. Itulah nikmat yg besar. Bersyukur dengan setiap rezeki sekali pun susah. Moga saudara kita kuat di sana dan moga kita juga dapat contohi mereka...aameen




KHEMAH DI SYURGA

Syurga, sebuah tempat yang tersembunyi keindahan, kebahagiaan dan kenikmatan yang tak terhingga yang melampaui imaginasi dan akal manusia, disediakan Allah buat hamba-hambaNya.


Di sana, kebahagiaan tidak pernah berkurang, sungai-sungai mengalirkan air, susu, madu, khamar yang tidak memabukkan. Buah-buahan lazat dan tak pernah habis disediakan. Penghuni syurga tinggal di istana-istana indah, dikelilingi kebun-kebun yang subur dan menghijau. Mereka mengenakan pakaian dari sutera halus dan dihiasi emas dan permata.


Di sana, tiada kesedihan, penderitaan atau kesusahan. Yang ada hanyalah kebahagiaan, hakiki dan abadi.


Di sana juga, disediakan khemah dengan puncak keindahan yang agung dan tak terjangkau akal fikiran, sebuah karya seni Allah yang melambangkan kebahagiaan dan kemewahan yang tiada bandingan. 


Disebut oleh Imam Ahmad yang diriwayatkan oleh Sahar bin Saad, Rasulullah SAW bersabda: "Orang yang masuk ke dalam syurga akan melihat khemah sebagaimana kalian melihat bintang-bintang yang bergemerlapan di dada langit." Cantiknya khemah itu seperti bintang membelah malam, demikian juga cantiknya ahli-ahli syurga itu.


Diriwayatkan oleh Imam Muslim dari Abu Musa al-Asy'ari bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:


"Orang beriman di syurga akan memiliki khemah yang terbuat dari satu mutiara besar yang berongga, panjangnya enam puluh batu. Di dalamnya ada keluarga mereka, dan orang beriman itu akan berkeliling menemui mereka tanpa mereka saling melihat satu sama lain."


Khemah di syurga menjulang setinggi 60 hasta, bilik-biliknya megah, tinggi dan besar, berdiri anggun di tempat-tempat yang mulia. Bilik-bilik di dalam syurga tersingkap dari luar ke dalam, dari dalam terlihat hingga ke luar. Luasnya tak terhingga, keindahannya memukau jiwa. MashaAllah.


Ia simbol kemewahan dan kedamaian abadi, setiap mukmin bersama keluarga tercinta dalam suasana yang penuh kebahagiaan dan privasi.



KHEMAH BAGINDA RASULULLAH ﷺ


Rasulullah SAW, dalam peristiwa penuh makna, sering mendirikan khemah yang menjadi lambang kebijaksanaan dan keteguhannya. 


Salah satu tempat bersejarah adalah Zarud, tempat Baginda memacakkan khemahnya saat musim haji. Zarud, terletak di timur laut kota Hail, sekitar 160 km dari situ, dan 580 km dari Kota Madinah, menjadi persinggahan para jemaah haji dalam perjalanan mereka menuju Masjidil Haram yang suci.


Dalam puisi yang menggambarkan keagungan ini, dinyatakan:


"Selawat kepada Zain al-Wujud  

Yang menetap di Tayyibah dan mendirikan khemah di Zarud."


Sejarah turut menyaksikan keagungan khemah Rasulullah di al-Hujun ketika Baginda ﷺ menakluk Mekah. Dalam Sira Halabiyyah, tertulis dengan indah:


"Ketika Rasulullah SAW tiba di Mekah dan umat merasai ketenangan, beliau mendirikan khemah di al-Hujun, tempat Zubair RA menancapkan panji di dekat lembah Abu Talib, kawasan yang dulu dihuni oleh Bani Hashim dan Bani al-Muttalib sebelum hijrah. Dalam khemah dari kulit yang tegak di sana, Rasulullah SAW ditemani oleh Ummu Salamah dan Maimunah, istri-istri mulia yang selalu di sisi Baginda."


Khemah-khemah di lokasi bersejarah ini tidak hanya menjadi tempat berlindung, tetapi juga menjadi saksi bisu kebesaran jiwa dan perjuangan Rasulullah SAW, menghadirkan rasa damai dan harapan bagi setiap insan yang mengenang.



KHEMAH “CINTA” SAYYID MUHAMMAD AMIN AL HASANI



Pada musim haji yang lalu, Sayyid juga mendirikan khemah sederhana untuk dirinya sendiri. Khemahnya unik dan estetik, menggunakan burnus yang menambah elegan dan istimewa. Ia bukan sekadar tempat berlindung, tetapi juga lambang keindahan dan penghormatan mendalam terhadap amalan tradisi.


Sebuah manifestasi dari dedikasi dan penghormatan Sayyid terhadap amalan sunnah Rasulullah SAW, mengikuti jejak Baginda, dan menambah keindahan amal sunnah dengan sentuhan peribadi yang khas dan istimewa.


Khemah burnus yang penuh cinta, menyimpan nilai-nilai spiritual tinggi walau ia cuma sekadarnya, menjadi saksi perjalanan ibadah haji yang penuh makna.


Nota:

1. Surah Al-Baqarah ayat 25:


بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ


وَبَشِّرِ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ أَنَّ لَهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ ۖ كُلَّمَا رُزِقُوا مِنْهَا مِنْ ثَمَرَةٍ رِزْقًا ۙ قَالُوا هَٰذَا الَّذِي رُزِقْنَا مِنْ قَبْلُ ۖ وَأُتُوا بِهِ مُتَشَابِهًا ۖ وَلَهُمْ فِيهَا أَزْوَاجٌ مُطَهَّرَةٌ ۖ وَهُمْ فِيهَا خَالِدُونَ


"Dan sampaikanlah berita gembira kepada mereka yang beriman dan berbuat kebajikan, bahwa bagi mereka disediakan surga-surga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai. Setiap kali mereka diberi rezeki buah-buahan dalam surga-surga itu, mereka mengatakan, 'Inilah yang pernah diberikan kepada kami dahulu.' Mereka diberi buah-buahan yang serupa dan untuk mereka di dalamnya ada pasangan-pasangan yang suci, dan mereka kekal di dalamnya."


2. Dalam "Sīrat al-Ḥalabīyah" (3/122), al-Ḥalabī menyebut: "Ketika Rasulullah ﷺ tiba di Mekah dan orang-orang merasa tenang, beliau berkata di al-Ḥijūn: tempat di mana az-Zubair bin al-‘Awwām رضي الله عنه menancapkan panji beliau ﷺ di dekat Syi‘b Abi Ṭālib, di mana Banu Hāshim, dan juga Banu al-Muṭṭalib, dikurung sebelum hijrah. Di situ didirikan sebuah khemah dari kulit, yang disiapkan untuk beliau ﷺ, dan di dalamnya ada Ummu Salamah dan Maymunah, isteri-isteri beliau ﷺ, yang diridhai oleh Allah.”

Friday, August 23, 2024

DIET GAYA RASULULLAH ﷺ

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ

Issue diet pemakanan sihat antara topik yang x lapuk dek hujan dan x lekang dek panas, Namun kita selalu lupa yang kita dah ada model pemakanan sihat dari 1400 tahun yang lepas..Sharing posting dari Fb KhairulAsraf, buat saya tertarik nak berkongsi di sini. Dengan izin ALLAH boleh inspiring kita semuaa..inshaALLAH.

Rasulullah ﷺ adalah cahaya teladan dalam setiap aspek kehidupan, termasuk dalam menjaga pemakanan dan kesihatan. Baginda sentiasa mempraktikkan pemakanan yang sederhana dan seimbang, menjadikan dirinya contoh agung bagi seluruh umat manusia. 

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Al-Miqdam bin Ma'dikarib, Rasulullah ﷺ bersabda, "Tidak ada bekas yang diisi oleh anak Adam yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah bagi anak Adam beberapa suap yang menegakkan punggungnya. Kalau tidak ada jalan lain, maka sepertiga untuk makanannya, sepertiga untuk minumannya, dan sepertiga untuk nafasnya." (HR. Tirmidzi).

Hadis ini menggariskan pentingnya mengawal pengambilan makanan demi menjaga kesihatan dan kesejahteraan. Baginda juga menekankan adab minum dengan bersederhana, sebagaimana dalam hadis, "Minumlah air dalam sedutan kecil dan jangan sekaligus." (HR. Bukhari dan Muslim). Ini membantu mencegah masalah pencernaan dan memastikan tubuh kita tetap sihat, memperlihatkan kebijaksanaannya dalam setiap tindakan harian.


Kurma memainkan peranan penting dalam diet Rasulullah ﷺ. Kurma bukan sahaja makanan ruji tetapi juga merupakan sumber gula semulajadi dan kaya dengan vitamin dan mineral penting yang mampu memberikan tenaga segera. Kandungan serat yang tinggi dalam kurma membantu pencernaan dan memberi rasa kenyang, sekaligus membantu mengawal pengambilan makanan dan mengekalkan berat badan yang sihat. 

Rasulullah ﷺ mengesyorkan berbuka puasa dengan kurma, yang memberikan tenaga segera dan menstabilkan kadar gula dalam darah selepas berpuasa. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik, Rasulullah ﷺ bersabda, "Rasulullah (ﷺ) biasa berbuka puasa sebelum solat dengan kurma basah; jika tiada kurma basah, baginda berbuka dengan kurma kering; jika tiada kurma kering, baginda mengambil beberapa teguk air." (HR. Abu Dawood).

Selain kurma, Rasulullah ﷺ juga mempunyai makanan kegemaran yang baginda hargai seperti madu, susu, dan barli. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari, Rasulullah ﷺ bersabda, "Rumah yang tiada kurma adalah seperti rumah yang tiada makanan." Hadis lain yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari menyebutkan kecintaan Rasulullah ﷺ kepada madu: "Madu adalah penawar bagi setiap penyakit dan Al-Qur'an adalah penawar bagi semua penyakit jiwa, oleh itu aku mengesyorkan kepada kamu dua penawar, Al-Qur'an dan madu."


Ibn Khaldun dalam Muqaddimah berkata:

"Orang Arab makan unta, maka mereka mengambil sifat cemburu dan kekasaran daripadanya.

Orang Turki makan kuda, maka mereka mengambil sifat keganasan dan kekuatan daripadanya.

Orang Barat makan khinzir, maka mereka mengambil sifat kebiadapan daripadanya.

Orang kulit hitam makan monyet, maka mereka mengambil sifat suka hiburan daripadanya."


Ibn Qayyim, rahimahullah, berkata, "Setiap orang yang biasa dengan jenis-jenis haiwan tertentu akan memperoleh sifat dan perilaku dari haiwan tersebut. Jika dia makan dagingnya, kesamaannya akan lebih kuat."

Ini menunjukkan bagaimana jenis makanan yang kita ambil boleh mempengaruhi bukan sahaja kepada kesihatan fizikal tetapi juga sifat dan kelakuan kita.


DIET GAYA SAYYID MUHAMMAD AMIN AL HASANI

Melalui dua tahun pemerhatian bersamanya, Sayyid Muhammad Amin sangat mengambil berat akan amalan pemakanannya. Beliau jarang sekali makan ayam, kerana ayam sering dikaitkan dengan sifat yang lebih pasif. 

Kata beliau tegas, “Di zaman kita ini, kebanyakan dari kita gemar makan ayam. Kita makan terlalu banyak sehingga kita banyak berceloteh dan berteriak, sehingga bangsa-bangsa lain menguasai kita. Kita mengambil sifat ayam yang rendah diri, menundukkan kepala, tidak terbang tinggi di langit, banyak berceloteh dan berteriak sahaja, dan lihatlah betapa banyaknya ayam di zaman kita ini...”

Sebagai alternatif, beliau lebih memilih daging kambing segar, ikan, dan makanan laut yang kaya dengan protein berkualiti tinggi dan nutrisi penting.

Sayyid Muhammad Amin juga sangat berhati-hati dalam memilih makanan. Beliau menghindari makanan segera dan makanan berproses yang lazimnya mengandungi bahan tambahan tidak sihat seperti lemak trans, garam berlebihan, dan gula yang tidak perlu. Sebaliknya, beliau lebih memilih makanan segar yang disediakan dengan cara sihat, samada dibakar, dipanggang, direbus, atau disalai. Ini memastikan setiap hidangan kekal berkhasiat dan menghindari risiko penyakit kronik.


Direzekikan Allah untuk sentiasa bersamanya dalam safar, Sayyid Muhammad Amin sering membawa kurma, kismis dan bijak memilih snek. Kekacang seperti badam dan walnut, serta coklat gelap tanpa tambahan gula, merupakan pilihan utama beliau. Kekacang memberikan protein dan lemak sihat, sementara coklat gelap menambah tenaga tanpa merosakkan dietnya. Beliau sentiasa membawa snek ini ke mana sahaja sebagai alternatif sihat apabila lapar sebelum menikmati hidangan utama.

Jus buah seperti jus avokado dicampur dengan almond atau pisang tanpa tambahan gula juga merupakan pilihan beliau. Beliau juga sentiasa membawa gula semulajadi bagi menggantikan gula putih untuk dinikmati bersama teh panas yang dicampur daun pudina.



Di samping menjaga diet, Sayyid Muhammad Amin yang saya kenal adalah seorang yang sangat bijak dalam mengagihkan masa. Walaupun jadualnya padat, beliau tetap cemerlang dalam kesemua tanggungjawabnya. Kemampuannya untuk mengurus masa dengan efektif membolehkan beliau aktif dalam pelbagai bidang tanpa mengabaikan kesejahteraan fizikal dan minda.


Beliau gemar menggunakan waktu tahajjud yang penuh berkah untuk membaca, mengulang kaji ilmu, dan memperkukuhkan pengetahuan, bagi rohani dan kecergasan mental beliau. Beliau sering berkumpul dengan ilmuwan dan orang-orang yang lebih alim daripadanya, memastikan diri sentiasa dalam lingkungan ilmu dan pengetahuan.



Wednesday, August 21, 2024

AHLUL BAIT: TONGGAK UTAMA DALAM DIPLOMASI SPIRITUAL

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Laggi Maha Penyayang 

Ahlul Bait, keluarga Nabi Muhammad ﷺ, memegang peranan yang sangat penting dalam sejarah Islam, bukan hanya sebagai pewaris ajaran Nabi, tetapi juga sebagai pelopor dalam seni diplomasi spiritual. Peranan mereka yang amat berharga termasuklah menyebarkan nilai-nilai keamanan, keadilan, dan toleransi, serta pengurusan hubungan antara umat Islam dan komuniti lain. Jejak diplomasi yang mereka amalkan boleh dikesan kembali ke zaman Rasulullah ﷺ, yang mengajar dan mengamalkan prinsip-prinsip diplomasi yang penuh hikmah dan inklusif. 

Diplomasi spiritual dalam Islam mula terukir semasa zaman Nabi Muhammad ﷺ, yang berperanan penting sebagai pemimpin spiritual dan diplomat ulung. Salah satu contoh agung diplomasi ini adalah Perlembagaan Madinah, sebuah perjanjian yang mengatur hubungan antara komuniti Muslim dan bukan Muslim di Madinah. Perlembagaan ini tidak hanya menjamin hak dan tanggungjawab setiap pihak, tetapi juga mempromosikan kebebasan beragama serta membina kerjasama dan perlindungan bersama. Ia menjadi model awal untuk masyarakat pelbagai budaya yang harmoni dan damai. 

Selain itu, Perjanjian Hudaibiyah pada tahun 628 Masihi dengan Quraisy Mekah adalah langkah penting dalam diplomasi, memberikan umat Islam peluang untuk mengukuhkan kedudukan mereka tanpa terlibat dalam konflik ketenteraan. Rasulullah ﷺ juga menghantar surat kepada pelbagai raja dan pemimpin, menjemput mereka untuk menerima Islam atau sekurang-kurangnya untuk hidup dalam kedamaian. Surat-surat ini menekankan pendekatan diplomasi yang berpaksikan dialog, pemahaman, dan penghormatan terhadap kepercayaan orang lain. 

 Selepas zaman Rasulullah ﷺ, peristiwa Perang Fakh pada tahun 786 Masihi menjadi detik bersejarah dalam naratif Ahlul Bait. Pemberontakan yang dipimpin oleh Idris bin Abdullah, keturunan Saidina Imam Hasan, terhadap dinasti Abbasiyah meninggalkan kesan mendalam terhadap penyebaran Ahlul Bait di seluruh dunia. Walaupun pemberontakan tersebut berakhir dengan kekalahan, ramai Ahlul Bait yang terselamat menyebar ke pelbagai kawasan, termasuk Afrika Utara, Parsi, dan Asia Tengah. Penyebaran ini membawa bersama ajaran Islam yang suci dan nilai-nilai diplomasi spiritual yang diwarisi dari Rasulullah ﷺ dan nenek moyang mereka. Di kawasan-kawasan yang mereka huni, Ahlul Bait bertindak sebagai pemimpin spiritual dan intelektual, serta mediator dalam komuniti tempatan. Mereka meneruskan pengajaran nilai-nilai keamanan, keadilan, dan toleransi, serta membina jambatan antara pelbagai komuniti dan agama. Sebagai contoh, dinasti Alawiyyah di Morocco, yang masih memerintah hingga hari ini, adalah keturunan Nabi Muhammad ﷺ melalui cucunya Imam Hasan. Dinasti ini telah memainkan peranan penting dalam mengekalkan kestabilan dan mempromosikan nilai-nilai Islam yang sederhana. 

Begitu juga, Kesultanan Brunei, yang dipimpin oleh keturunan Nabi melalui Sayyid Ali bin Ja'far bin Muhammad bin Abdullah Al-Aidarus, dikenali kerana polisi-polisi yang menggabungkan tradisi Islam dengan kemodenan dan mempromosikan diplomasi damai. Dinasti Hashemite di Jordan, yang merupakan keturunan langsung Nabi Muhammad ﷺ melalui anak perempuannya Fatimah, turut memainkan peranan penting dalam diplomasi antarabangsa dan dialog antara agama, mencerminkan pendekatan diplomasi yang diambil oleh Rasulullah ﷺ dalam membina hubungan harmoni dengan negara jiran. 


Diplomasi melalui Perdagangan dan KerjaDakwah 

Salah satu cara Ahlul Bait menyebarkan ajaran Islam adalah melalui perdagangan dan kerja-kerja dakwah. Mereka tidak hanya terlibat alam perdagangan tetapi juga melakukan perjalanan ke pelbagai penjuru dunia untuk menyebarkan ajaran Islam. Kedatangan mereka ke rantau Nusantara, yang kini dikenali sebagai Indonesia dan Malaysia, adalah contoh nyata strategi ini. Para pedagang dan cendekiawan keturunan Rasulullah ﷺ datang ke Nusantara bukan sahaja untuk berdagang tetapi juga untuk menyebarkan ajaran Islam. Dalam usaha dakwah mereka di Nusantara, Ahlul Bait mengamalkan pendekatan yang harmoni, selaras dengan konteks budaya tempatan. 

Mereka memperkenalkan prinsip-prinsip Islam dengan cara yang menghormati tradisi dan adat tempatan. Contohnya, mereka berinteraksi dengan penduduk tempatan dengan penuh hormat, mengintegrasikan ajaran Islam dalam kehidupan seharian, dan menekankan prinsip keamanan dan keadilan. Pendekatan ini membolehkan mereka diterima dengan baik oleh penduduk tempatan dan menjadikan Islam sebagai sebahagian penting daripada budaya Nusantara. Penyebaran Islam di Nusantara bukan sahaja memperkenalkan agama baru tetapi juga membina hubungan harmoni antara komuniti Muslim dan bukan Muslim di kawasan tersebut. 

Pendekatan diplomasi yang diambil oleh Ahlul Bait berjaya mengintegrasikan ajaran Islam dengan budaya tempatan, mencipta masyarakat yang inklusif dan saling menghormati. Ahlul Bait juga memberikan teladan yang baik dalam kehidupan seharian mereka, menunjukkan bagaimana umat Islam harus berinteraksi dengan orang lain. Mereka dikenali kerana empati mereka, menghormati perbezaan, dan usaha untuk mencari penyelesaian damai kepada konflik. Pendekatan ini bukan sahaja mempromosikan keamanan tetapi juga kerjasama bersama, mencerminkan komitmen Ahlul Bait terhadap nilai-nilai Islam yang mencakup seluruh aspek dan universal. Dengan penyebaran mereka ke pelbagai penjuru dunia, 

Ahlul Bait memainkan peranan penting dalam membina hubungan baik dengan pelbagai komuniti dan agama. Diplomasi spiritual mereka terus memberi inspirasi kepada umat Islam dan seluruh kemanusiaan untuk membina dunia yang lebih adil dan damai. Semoga Sayyid Sharif Muhammad Amin Al Hasani Al Idrisi dapat meneruskan perjuangannya melaksanakan diplomasi spiritual bagi menyambungkerja-kerja diplomasi Baginda Rasulullah ﷺ . Amin

Dengan Nama ALLAH Yg Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

8 tahun diam. 8 tahun mcm2 jadi. Suka duka semua pun pengalaman yg mendewasakan. Alhamdulillah utk 8 tahun yg pelbagai. This round this time I'm back here again with new spirit! May Allah ease everything for us 